Monday, September 28, 2015

Poligami

Tulisan ini diambil dari SINI.. tidak salah berkongsi ilmu kan..

KENAPA SUAMI PERLU MEMINTA KERELAAN ISTERI SEBELUM BERPOLIGAMI?

Adab Permohonan Untuk Berpoligami

            Ada segelintir masyarakat yang berpandangan, keizinan isteri tidak penting dalam urusan poligami kerana sudah tentu kebanyakan wanita tidak mengizinkannya. Jika berhajat, buat sahaja. Mulut isteri hanya perlu dizip dengan ancaman berdosa, nusyuz(derhaka), menolak sunnah Nabi dan sebagainya.

Ya, poligami sah tanpa izin isteri. Tapi kerelaan isteri amat penting dan berpengaruh besar dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.  Jika diabaikan, ia bakal menghancurkan tujuan suci perkahwinan untuk mewujudkan mawaddah, rahmah dan sakinah.

Biasanya suami yang berpoligami tanpa rela isteri melakukannya di Thailand atau di luar mukim. Poligaminya sah namun ia dianggap oleh masyarakat berpoligami tanpa adab. Melanggar lunas undang-undang. Berisiko tinggi untuk menzalimi hak sesiapa.

Hidup ini bukan sekadar mengetahui hukum tanpa seni melaksanakannya. Bukan juga sekadar ada seni melaksanakannya tanpa mengetahui hukum. Kedua-duanya sama-sama penting untuk mengecap bahagia. Tentang isu sah atau tidak sah suami berkahwin lagi tanpa izin isteri, diakui bahawa ianya sah. Namun, ia meninggalkan kesan dan risiko tersendiri dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.

Kuasa Keizinan Mahkamah

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa cara pernikahan yang baik itu ialah apabila tidak ada penghalang yang menghambat pernikahannya daripada salah satu pihak, atau keluarganya, atau tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain-lain.[1]

Secara undang-undang di Malaysia, sama ada isteri mengizinkan atau tidak mengizinkan, rela atau tidak rela, permohonan untuk berpoligami mesti dituntut di mahkamah. Ketidak relaan isteri sedikit berpengaruh dalam keputusan mahkamah dalam menentukan sama ada suami mampu berlaku adil atau tidak.

Mahkamah Syariah mempunyai maslahah tertentu untuk membolehkan poligami hanya dengan izin mahkamah, iaitu mahkamah yang menentukan ‘keadilan’ seseorang dan kemampuannya memberikan nafkah. Konsep maslahah suatu konsep yang diiktiraf dalam Fiqh dan Usul Fiqh. Ini disebabkan oleh ramai orang yang menyalah gunakan keringanan (rukhsah) berpoligami khususnya orang-orang jahil.

Di Malaysia, mahkamah akan mempersoalkan tentang kecacatan fizikal isteri, ketidak mampuannya memberikan zuriat serta memenuhi keperluan seks suami dan sebagainya. Jika isteri telah memenuhi kriteria semua ini dan dia tidak rela dimadukan, mahkamah biasanya berkemungkinan besar menolak permohonan suami untuk berpoligami, bergantung juga kepada penelitian banyak faktor lain dan kebijaksanaan hakim.


Akibat Berkahwin Tanpa Izin, Mendera Perasaan Isteri dan Menghapus Bahagia Sekeluarga

Kita bincangkan pula, isu penting atau tidak penting suami berkahwin lagi dengan izin isteri. Mari merenung jauh, apakah impak poligami tanpa kerelaan isteri? Adakah ia berpengaruh kepada konsep membawa keburukan (mafsadah)?

            Sudah tentu.

Bukankah berpoligami tanpa rela isteri ini suatu penderaan perasaan yang amat dahsyat kepada kaum wanita? Jika dia marahkan suaminya sahaja, tidak mengapa. Bimbang nanti agamanya rosak apabila dia mula marahkan Allah. Bimbang juga jika kehancuran hatinya merangsang dia bertindak di luar kawal.

Wajarkah wanita dipersalahkan seratus-peratus apabila nanti dia mewujudkan perang demi perang lantaran remuknya perasaan? Siapa sebenarnya yang mencampakkan wanita ke dalam kezaliman ini apabila agamanya terfitnah kerana cemburu? Siapa yang telah mengheretnya kepada ujian hidup bermadu tanpa adab? Akibatnya, suami, isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga akan hilang bahagia. Siapa pencetusnya?

Kepentingan Izin Isteri untuk Mencapai Tujuan Perkahwinan Barakah

            Mari kita perhatikan, apakah rasional pentingnya suami meminta kerelaan isteri sebelum berpoligami. Sebelum itu, diingatkan sekali lagi, isunya di sini bukan sah atau tidak sah berpoligami tanpa kerelaan isteri, tetapi penting atau tidak penting kerelaan isteri:

1.      Meminta kerelaan isteri adalah suatu sikap mulia dengan mengambil prinsip umum kepentingan berbincang atau bermesyuarat dalam kepimpinan.

وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ (38)

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan berbincanglah dalam urusan antara mereka.” (Surah Syura: 38)

Suami adalah pemimpin di dalam rumah tangga. Sebelum sesuatu keputusan besar dibuat di dalam keluarga, amat penting baginya berbincang dan bermesyuarat sesama ahli keluarga. Barulah dia dikira pemimpin yang bertanggung jawab dan amanah. Bukankah isu poligami adalah isu yang sangat besar dalam sesebuah keluarga? Melaksanakannya tanpa berbincang, adakah akan membawa bahagia? Atau bakal mencipta neraka dunia?

2.      Tanpa kerelaan isteri, ia menghancurkan hati isteri dengan penipuan dan menyembunyikan pernikahan,bertentangan dengan konsep al-mu’aasyarah bil-ma’ruuf(memperlakukan isteri dengan baik), seperti yang diingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Nisaa`: ayat 19.

3.      Islam mengiktiraf perasaan kewanitaandan ianya menyejukkan jiwa wanita. Pengiktirafan ini mengukuhkan institusi kekeluargaan. Suami yang meminta kerelaan isterinya dikira mengiktiraf perasaan isterinya itu.

Rasulullah SAW bersabda:


عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَدِيٍّ الْكِنْدِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَشِيرُوا عَلَى النِّسَاءِ فِي أَنْفُسِهِنَّ

Maksudnya:

Daripada ‘Adiy ibn ‘Adiy Al-Kindi daripada bapanya: Rasulullah SAW bersabda: “Berbincanglah dengan wanita tentang diri mereka sendiri.”

Jadi, wajarkah seorang suami langsung tidak mengambil pandangan isterinya sebelum berpoligami? Urusan poligami bukan urusan suami seorang bahkan melibatkan urusan isteri dan anak-anak. Maka, suara isteri wajar diperbincangkan bersama secara syura. Suami tidak boleh berlagak diktator kerana keputusan untuk berpoligami melibatkan hak orang lain. Jika hak itu dizaplimi tanpa izin, ia berpengaruh pada syurga dan nerakanya.

4.      Betapa Rasulullah SAW amat menghargai isteri, baginda berpesan kepada kaum suami apabila tergoda dengan wanita lain, segeralah menggauli isteri di rumah. Baginda tidak pernah berpesan agar segera menikahi wanita itu dan menduakan isteri kerana baginda menunjukkan contoh bernikah lagi bukan kerana nafsu tetapi kerana kepentingan agama.

Lelaki yang tertawan dengan seorang wanita dan bercinta secara haram di belakang isterinya kemudian berkahwin lagi tanpa kerelaan isteri, jelas perkahwinannya bukan kerana kepentingan agama tetapi kerana dorongan nafsu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda.“Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” (Riwayat Muslim).

5.      Bagaimana Fatimah al-Zahra mengetahui hasrat suaminya ingin berpoligami jika suaminya tidak berbincang dengannya? Jelas, Saidina Ali menghargai kerelaan isterinya dalam urusan ini dengan berbincang.

6.      Kenapa menantu-menantu Rasulullah yang lain seperti Saidina Usman dan Abul Ash Laqith bin Ar-Rabi’ tidak berpoligami? Mereka mengetahui Rasulullah tidak rela puteri-puterinya dimadukan. Jelas, Saidina Usman dan Abul Ash meraikan dan menghormati hati dan keizinan isterinya dalam urusan ini yang disampaikan oleh ayahnya sejak awal pernikahan.

7.      Seandainya isteri tidak merelakan, ia akan mengakibatkan pertengkaran dan pergaduhan besar. Biasanya sukar dimaafkan dan dilupakan selama-lamanya kerana isteri sudah hilang kepercayaan kepada suami. Sekaligus meruntuhkan tujuan perkahwinan untuk membina mawaddah, warahmahwasakinah.

8.      Seandainya perbincangan dengan isteri berlaku, ia akan membawa natijah sama ada isteri merelakan atau suami perlu memberi hak isteri sekiranya dia mempertahankan monogaminya di mahkamah atau minta dibebaskan dengan cara yang baik. Ia dapat mengelakkan pergaduhan besar dengan memberikan hak semua pihak.

9.      Kerelaan isteri pertama lebih memberi ketenangan hati kepada banyak pihak termasuk suami, isteri, anak-anak dan keluarga. Realiti membuktikan bahawa poligami tanpa izin isteri selalunya sukar dan poligami dengan izin isteri selalunya sejahtera.

10.  Kerelaan isteri pertama dapat mengelakkan isteri kedua dan seterusnya sering berada dalam derita apabila suami bersikap lepas tangan. Manakala pembelaan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawab dengan adil tidak ada kerana dia tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal suaminya daripada melakukan ketidak adilan.  Janji-janji suami akan berkubur begitu sahaja kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul dengan meminta kerelaan isteri pertama terlebih dahulu, maka suami boleh mengabaikan janjinya sewenang-wenangnya.

11.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah isteri pertama dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).

12.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar  mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinannya dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails